m/s 24
Perkobf sedia bantu mangsa
SHAH ALAM - Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf) sedia membantu menyambung semua projek perumahan yang terbengkalai bagi meringankan beban pembeli yang terpaksa membayar ansuran bulanan kepada bank.
Presidennya, Tukiman Radion berkata, pihaknya sedia membantu jika ada projek perumahan yang terbengkalai kerana faham dengan bebanan yang terpaksa ditanggung pembeli rumah.
![]() |
TUKIMAN |
Menurutnya, pemaju perumahan sepatutnya mengikut segala syarat yang digariskan Kementerian Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan begi memudahkan mereka memiliki sijil layak menduduki (CF).
"Pemaju perumahan tidak sepatutnya lepas tangan dalam hal ini kerana mereka yang bertanggungjawab dalam memohon CF itu, bukan tanggungjawab pembeli rumah.
"Ini juga bagi memastikan keselamatam pembeli rumah terjamin selepas mereka menduduki rumah yang mereka beli itu,"tegasnya.
Beliau turut tidak menafikan terdapat pemaju yang sambil lewa dalam memohon CF malah ada yang tidak mematuhi garis panduan kementerian hingga menyebabkan projek perumahan yang dibangunkan terbengkalai.
"Ini adalah tanggungjawab pemaju, mereka tidak sepatutnya menjadikan pembeli rumah sebagai mangsa.
"Kasihan pada mereka yang membayar ansuran pinjaman setiap bulan, rumah tidak siap-siap,"katanya.