Friday, 4 April 2014

Najib selesaikan penantian 12 tahun pembeli rumah Alam Perdana
28 April 2013 

Najib bergambar bersama penerima kunci pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Perumahan Terbengkalai SPNB Alam Perdana di Kuala Selangor hari ini.- Foto Bernama
 
 KUALA SELANGOR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyerahkan kunci rumah kepada para pembeli rumah pangsa kos rendah Bandar Alam Perdana di Ijok, dan sekaligus menyelesaikan masalah penantian 12 tahun mereka untuk akhirnya memiliki rumah sendiri.

Simbolik penyerahan replika kunci rumah kepada 10 wakil pembeli itu pada satu upacara hari ini memberi erti yang amat besar kepada mereka kerana projek yang terbengkalai itu telah diselamatkan oleh Barisan Nasional (BN) melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).


Projek perumahan kos rendah di Alam Perdana yang terbengkalai itu terdiri daripada 2,500 unit rumah, yang berkeluasan lantai, 650 kaki persegi di atas tapak seluas 20 hektar di sini.


Projek yang terbengkalai sejak tahun 2002 itu, akhirnya mendapat sijil layak menduduki pada 27 Disember lepas setelah disiapkan oleh kontraktor yang dilantik SPNB, Medallion Builders Sdn Bhd.


Najib semasa berucap di majlis penyerahan kunci itu berkata projek itu diselamatkan oleh BN menerusi SPNB dengan peruntukan Kementerian Kewangan berjumlah RM200 juta.


Sungguhpun projek ini diambilalih oleh SPNB, ia lewat setahun untuk disiapkan kerana Kerajaan Negeri Selangor di bawah pakatan pembangkang tidak memberikan kerjasama kepada SPNB.


Najib berkata sejumlah 2,500 keluarga kecewa dan hampa kerana terpaksa menunggu lebih lama gara-gara kerajaan pakatan pembangkang tidak mahu beri kelulusan "arahan pembangunan" untuk sistem pembentungan projek itu.


Beliau berkata Kerajaan Negeri Selangor yang diterajui Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ijok tidakpun mengeluarkan peruntukan bagi memulihkan projek itu tetapi sebaliknya menjadi penghalang dan menyusahkan rakyat pula.


Mereka "busuk hati" apabila mendengar BN hendak memulihkan projek yang menjadi harapan pembeli itu dan melakukan pelbagai halangan, katanya.


"Sebab itulah kita nak buang batu penghalang, campak mereka yang menjadi penghalang ini," katanya.


Najib berkata cara terbaik untuk membuang batu penghalang itu ialah adalah dengan mengembalikan kuasa pemerintaan Kerajaan Negeri Selangor kepada BN Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei ini. - Bernama 


No comments:

Post a Comment