Thursday, 10 April 2014

Kunci masih gagal diserah  

ARKIB : 12/07/2013 

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
kota@utusangroup.com.my

 
Amirudin Abdullah (kanan) bertanya sesuatu kepada Norzaton Aini (tengah) berhubung masalah yang dihadapi oleh pembeli-pembeli rumah di Taman Alam Perdana, Ijok dalam pertemuan di Shah Alam semalam.

SHAH ALAM 11 Julai - Para pembeli rumah teres kos sederhana Taman Alam Perdana, Ijok dekat sini menuntut penjelasan daripada Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) berhubung kelewatan menyerahkan kunci rumah sedangkan projek tersebut telah siap sepenuhnya.
Wakil mereka, Kapten (B) Amiruddin Abdullah, 54, berkata, sejak anak syarikat kerajaan negeri iaitu Permodalan Nasional Selangor Bhd. (PNSB) mengambil alih projek terbengkalai berkenaan sejak 15 bulan lalu, rumah tersebut masih belum diserahkan kepada pembeli.
"Hari ini kami datang berjumpa LPHS bagi mencari jawapan mengapa projek perumahan yang telah diambil alih pembinaannya oleh kerajaan negeri masih belum boleh kami duduki.
"Menurut Pengarah LPHS, Norzaton Aini Mohd. Kassim, rumah kami tidak dapat diduduki kerana wujud masalah antara PNSB dengan pihak pembekal utiliti iaitu Indah Water Konsortium (IWK) membabitkan spesifikasi pembetungan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan LPHS di bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri di sini hari ini.
Amiruddin berkata, LPHS berjanji akan melaporkan perkembangan perbincangan pihak mereka dengan IWK dua minggu sekali sehingga masalah tersebut selesai.
"Sebanyak 1,114 pembeli berharap masalah tersebut diselesaikan kerana kebanyakan daripada kami terpaksa membayar sewa rumah dan pinjaman bank.
"Dalam masa sama saya ingin membangkitkan mengapa pembeli tidak dibenarkan memasuki dan memantau kerja-kerja pemulihan dan pembinaan yang dilaksanakan oleh PNSB," katanya.
Sementara itu, seorang lagi pembeli, Isaac Nathan, 60, berkata, penduduk menuntut daripada LPHS untuk mengadakan pertemuan dengan PNSB bagi mengetahui status sebenar masalah spesifikasi pembetungan yang dihadapi dengan IWK.
Beliau berkata, projek Taman Alam Perdana dimulakan pada 2001 oleh LBCN/Vega Builders namun pada 2005 hingga 2009 perjalanan projek tersebut semakin lembap hingga dianggap telah terbengkalai.
"Pada Disember 2011 projek tersebut telah diambil alih oleh kerajaan negeri melalui Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) yang kemudiannya melantik PNSB sebagai pemaju baharu.
"Namun sehingga kini unit rumah tersebut masih belum diserahkan kepada pembeli disebabkan masalah berkaitan sistem pembetungan IWK yang tidak mengikut spesifikasi, kita mahu tahu apa masalah yang sebenarnya," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment