Thursday, 24 April 2014

Sinar Harian, Isnin 21 April 2014
m/s 24

Ada CF layak jual rumah

Pemaju perlu patuhi syarat utama sebelum menjual kepada pembeli

SHAH ALAM - Kementerian Kesejahteraan Bandar,Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak akan teragak-agak menyenaraihitamkan pemaju perumahan yang gagal memenuhi syarat sijil layak menduduki (CF) kerana ia merupakan syarat utama sebelum layak menjual rumah kepada pembeli.
   Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, CF merupakan syarat paling asas kepada pemaju dan wajib mendapatkan CF kerana iamerupakan ciri keselamatan utama bagi memastikan keselamatan pembeli rumah terjamin.

ABDUL RAHMAN
   "CF itu penting...tidak sesukar mana pun nak mohon, kenapa ada pemaju yang ambil mudah perkara sedangkan ia melibatkan keselamatan pembeli rumah.
   "Ini termasuklah kerjasama dari pemaju rumah bersama bomba sebagai contoh sesebuah rumah itu mesti ada laluan keselamatan jika berlaku kecemasan," katanya kepada Sinar Harian.
   Menurutnya, terdapat kalangan pemaju yang tidak faham undang-undang mengenai pentingnya CF dam menyebabkan sesetengah projek perumahan akhirnya terbengkalai.
   "Sekali lagi saya tegaskan, CF ini penting dan pemaju perumahan tidak boleh jadikan alasan sukar mendapat CF jika gagal menyiapkan sesebuah projek perumahan itu,"tegasnya.
   Tambah beliau, kepentingan CF ini juga penting bagi memastikan pembeli tidak mengalami kerugian kerana jika sesebuah projek perumahan itu gagal disiapkan, pembeli akan tanggung pelbagai masalah dan bebanan.
   "Kita juga mahu nasihatkan pembeli...jika mahu membeli rumah, kena pastikan latar belakang dan reputasi pemaju peromahan itu terlebih dahulu.
   "Kalau mereka memang ada latar belakang membangunkan projek perumahan yang baik, tidak menjadi masalah.
   "Kita tidak mahu pembeli membeli rumah daripada  pemaju yang baru saja bertapak dalam bidang ini. Dikhuatiri rumah yang mahu mereka beli itu terbengkalai kerana pemaju tiada pengalaman,:ujarnya.

No comments:

Post a Comment