Kerajaan Selangor tidak halang serah kunci Taman Alam Perdana
Kerajaan negeri telah melakukan pelbagai usaha agar projek rumah kos rendah yang telah lama terbengkalai disiapkan secepat mungkin.
PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah menghalang
proses penyerahan kunci bagi 2,500 unit rumah kos rendah Taman Alam
Perdana seperti yang didakwa oleh Pengarah Urusan Syarikat Perumahan
Negara Berhad (SPNB), Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan
Selangor melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah
melakukan pelbagai usaha agar projek rumah kos rendah yang telah lama
terbengkalai disiapkan secepat mungkin.
Pemulihan projek terbengkalai Alam Perdana melibatkan 3,819 unit
rumah yang terdiri daripada 2,500 unit rumah kos rendah di bawah
pemulihan SPNB dan 1,319 unit rumah teres di bawah pemulihan Kerajaan
Selangor.
Bagaimanapun, permohonan mendapatkan sijil layak menduduki (CF) bagi
rumah teres tertangguh mengikut perancangan kerajaan negeri akibat
kegagalan SPNB menyelesaikan isu teknikal dengan Syarikat Bekalan Air
Berhad Selangor (Syabas) dan Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK).
“Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh sememangnya sedia maklum akan hal
ini. Sebagai penyelesaian masalah tersebut, kerajaan negeri telah
mengambilalih tanggungjawab SPNB bagi menyelesaikan masalah bekalan air
daripada Syabas terutamanya masalah tangki air.
“Kerajaan negeri telah menanggung kos pembaikan cerun yang runtuh di
tapak tangki air dan menjelaskan bayaran jaminan bayaran sejumlah hampir
RM1 juta kepada Syabas. Namun masalah IWK masih belum dapat
diselesaikan oleh SPNB.
“Di atas kesungguhan kerajaan negeri, akhirnya projek dapat disiapkan
dan serahkan kepada pembeli rumah teres berserta sijil layak menduduki
sementara (TCF) diperolehi pada 26 April 2012 tertakluk kepada sokongan
IWK.
“Kelulusan TCF ini adalah merangkumi kelulusan pembangunan Alam
Perdana yang melibatkan 2,500 unit rumah kos rendah,” katanya dalam satu
kenyataan media hari ini.
SPNB tidak beri kerjasama
TCF katanya, telah diserahkan kepada pemilik rumah teres pada 28 April 2012, sebelum majlis berlangsung.
Malah kerajaan negeri telah mengeluarkan surat jemputan kepada SPNB
untuk diadakan sama dengan penyerahan kunci rumah kos rendah.
Walaubagaimanapun, SPNB tidak memberikan kerjasama.
Jelasnya, sehari sebelum program berlangsung, Dr Kamarul Rashdan
telah mengeluarkan kenyataan melalui Berita Harian pada 27 April 2012
menyatakan kerajaan negeri bercadang menyerahkan kunci rumah tanpa CF.
Kerajaan negeri kesal dengan sikap Pengarah Urusan SPNB yang tidak
bertanggungjawab sehingga mengeluarkan kenyataan yang jelas tidak benar.
Maka kerajaan negeri akan memanggil SPNB untuk memberi penjelasan
lanjut dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dalam
masa terdekat.
No comments:
Post a Comment