|
||
SPNB KOMITED BAIKPULIH PROJEK TERBENGKALAI DI SELURUH NEGARA
Oleh: Y.B Datuk Ir. Hj Idris Hj. Haron, Pengerusi SPNB
Kuala Lumpur, 14 Julai - Syarikat
Perumahan Negara Berhad (SPNB) adalah syarikat yang telah dilantik oleh
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membaik pulih
projek perumahan terbengkalai di seluruh Negara bermula Mac 2001. SPNB
telah diarahkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk membuat kajian
kemungkinan bagi membaikpulih 74,744 unit rumah merangkumi 258 buah
projek dengan nilai pembangunan RM4.5 bilion.
Sehingga kini, SPNB telah berjaya menyiapkan 82 buah
projek yang melibatkan 24,856 unit rumah terbengkalai dengan melibatkan
kos pembangunan RM557 juta. Setakat ini, sembilan (9) buah projek (3,500
unit) di dalam peringkat pelaksanaan.
SPNB telah menerima peruntukan awalan daripada Dana
Khas dalam Tabung Pemulihan Perumahan Terbengkalai (TPPT) yang
disediakan oleh Kerajaan Persekutuan sebanyak 300 juta serta melalui
Pakej Rangsangan Ekonomi 1 dan 2 yang diumumkan YA.B. Perdana Menteri,
Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada tahun 2008 dan 2009 iaitu sebanyak
RM430 juta.
Negeri Selangor merupakan negeri yang mencatatkan
kadar projek perumahan terbengkalai tertinggi di mana SPNB telah dan
sedang membaikpulih sebanyak 15 buah projek yang meilbatkan 6,024 unit
rumah seperti yang diarahkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui KPKT dan
Kementerian Kewangan.
Bandar Alam Perdana di Ijok Selangor adalah projek
perumahan yang terbesar sedang dibaikpulih oleh SPNB melibatkan 2500
unit rumah pangsa kos rendah lima tingkat berharga RM35,000. Projek ini
telah terbengkalai bermula tahun 2002 oleh pemaju asal pada tahap
kesiapan 20 hingga 85 peratus. Proses membaikpulih telah dimulakan oleh
SPNB pada bulan November 2009. Segala kos membaikpulih adalah ditanggung
sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan di mana para pembeli yang tidak
bernasib baik ini tidak perlu membayar kos tersebut. Kerajaan
Persekutuan juga bersetuju harga rumah asal dikekalkan di mana tidak
perlu menambah pinjaman atau membayar rumah tersebut pada harga pasaran.
SPNB terus komited bersama Kerajaan Persekutuan dalam
usaha membaikpulih projek Bandar Alam Perdana ini, di mana kini ianya
telah mencapai 92 peratus tahap kesiapan dan dijangka siap sepenunya
pada bulan November tahun ini.
Walaubagaimanapun, terdapat isu yang perlu diberi
perhatian iaitu proses pengambil alihan tanah bagi projek tersebut oleh
Kerajaan Negeri Selangor yang masih tertangguh semenjak Januari 2010.
Secara keseluruhan, SPNB membelanjakan sebanyak RM173
juta untuk membaik pulih projek ini melalui dana yang disalurkan oleh
Kerajaan Persekutuan di mana kemajuan kerja adalah di tahap memuaskan
dan hampir siap. SPNB mensasarkan penyerahan pada bulan November tahun
ini sekiranya isu pengambil alihan tanah berjaya diselesaikan dan Sijil
Layak Menduduki diperolehi sepenuhnya.
|
Monday, 14 April 2014
Subscribe to:
Post Comments (Atom)